Sekolahku

1 comments
SEKOLAHKU


Setelah tamat pengajianku di Maktab Perguruan Kota Bharu, aku telah ditempatkan di SK Kg Baharu Redang Ponggor, Langkap, Teluk Intan. Ini merupakan sekolah pertamaku. Aku telah berkhidmat di sekolah ini sejak tahun 2005 sehingga 2012. Banyak pengalaman baru yang aku perolehi sejak menjejakkan kaki ke sini. Banyak kenangan manis yang tercipta di sekolah ini.

Sk Kg Baharu Redang Ponggor ini dikategorikan sebagai sekolah kurang murid (SKM) kerana muridnya tidak ramai. Tahun ini, bilangan muridnya kurang sedikit berbanding tahun lepas iaitu hanya seramai 54 orang. Bilangan guru pula seramai 12 orang termasuk guru besar, 2 orang kerani dan seorang pembantu pra. Meskipun bilangan guru dan muridnya tidak ramai, prestasi sekolah sama ada dari aspek kurikulum atau kokurikulum tidak jauh ketinggalan. Pencapaian UPSR setiap tahun menunjukkan peningkatan. Perhubungan antara pentadbir dan rakan-rakan guru adalah akrab. Aku bangga dan  seronok menjadi salah seorang daripada guru di sekolah ini.

Lokasi sekolah dari jalan besar agak jauh masuk ke dalam kawasan ladang kepala sawit. Namun, ia merupakan kawasan perkampungan Melayu dan tidaklah terlalu terpencil. Penduduk kampung mempunyai kenderaan sendiri untuk keluar masuk kampung. Namun, jika berjalan kaki ke dalam, agak penat juga...

Kalau dahulu, sekolah ini hanya mempunyai 2 bangunan kecil sahaja. Tapi kini, atas keprihatinan pihak atasan dan usaha guru-guru dalam penambahbaikan infrastruktur sekolah, 1 bangunan yang memuatkan 2 buah kelas lagi telah dibina meskipun pada asalnya ia adalah kabin. Namun, bagi saya ia tidak langsung kelihatan seperti kabin seperti yang dimaksudkan. Keadaan ini membuatkan murid-murid lebih selesa untuk belajar. Suraunya juga cantik dan unik.
    * Surau sekolah

Percaya atau tidak, sekolah ini juga mempunyai satu bangunan pra yang besar dan sangat cantik. Ia mula dibina pada hujung tahun 2011 dan siap pada awal tahun 2012. Ia menyerupai sebuah banglo kan? Sangat selesa... Anakku juga belajar di situ...
Pendek kata, banyak perubahan yang berlaku jika dibandingkan hari pertama aku menjejakkan kaki masuk ke sekolah ini sehingga sekarang. Sekarang ini, sekolah ini masih lagi dalam penambahbaikan... Hasilnya kita tunggu tahun depan...
Harapan aku di sekolah ini, agar dapat meneruskan perjuangan sebagai guru dalam melahirkan dan membangunkan modal insan generasi masa akan datang yang lebih cemerlang. Kejayaan mereka adalah kejayaanku jua, kegagalan mereka adalah kegagalanku jua...
Jika ada sesiapa yang mempunyai pendapat atau ingin berkongsi maklumat adalah sangat dialu-alukan... Salam ukhwah, salam perjuangan, salam 1 Malaysia...

1 comments:

  1. Tahniah cikgu Ros...semoga terus gembira dan bersemangat berkhidmat di sekolah kita...

    ReplyDelete

Terima kasih atas komen anda.

Followers

Jumlah Pengunjung